Wednesday 21 September 2016

Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat

Saya tidak kenal siapa Dr. Azman Ibrahim sehinggalah saya membaca buku hasil tulisan beliau. Buku ini dibeli oleh Cg Lukeman dua tahun lalu (seingat saya) di Masjid Ibrahimi usai solat berjemaah di situ. Ketika itu, Dr. Azman hadir untuk memberi ceramah di masjid tersebut. 

RM 25

Sedar tidak sedar, dua kali saya khatam buku ini. Sebuah buku motivasi yang memberi semangat juang yang tinggi dalam menuntut ilmu di perantauan. Menuntut ilmu di sebuah negara bergolak yang sedang berhadapan dengan sekatan ekonomi PBB ekoran penaklukan Iraq terhadap Kuwait pada 2-4 Ogos 1990. Ia adalah catatan pengalaman nyata seorang penuntut ilmu di bumi Iraq pada awal tahun 90-an. 

Gaya penulisan yang santai dan mudah difahami membuatkan saya seolah-olah berada di negara yang pernah dipimpin Saddam Hussein sebelum kejatuhannya.

       "Lantaran itu, saya tidak pernah mengimpikan suasana kehidupan di sana sebagaimana yang saya nikmati di negara sendiri apatah lagi untuk merasai iklim pembelajaran yang penuh kemewahan dan kemodenan tetapi impian saya adalah untuk mengaut dan membawa pulang semaksima mungkin ilmu dari bumi yang pernah menjadi pusat penyebaran ilmu di zaman keagungan Khilafah Abbasiyah. Bukankah ilmu itu adalah khazanah yang hilang dari kita ummat Islam dan ianya perlu dikutip kembali walaupun dengan segala susah payah".

Wujud lagikah lembah itu? Ya...wujud lagikah lembah di antara Sungai Dajlah dan Furat (lebih dikenali dengan Tigris dan Euphrates dalam buku sejarah) atau sudah dibom oleh tentera AS yang mendakwa Iraq menyembunyikan senjata nuklear.

Melalui buku ini, saya kenal negara Iraq, sejarah jatuh bangun negara Iraq dan siapa itu Saddam Hussein walaupun dengan tidak mendalam. Cerita Syiah di Iraq, muslim Sunni di Fallujah ada diketengahkan oleh Dr. Azman.


Saddam Hussein

Jarang rakyat Malaysia yang menuntut di sana, tidak seperti di Mesir atau Jordan lebih-lebih lagi dalam bidang perubatan pergigian. Tetapi, itulah kelebihannya. Menjadikan Dr. Azman lebih mudah untuk menguasai bahasa orang tempatan dan menyesuaikan diri bagi meneruskan kelangsungan hidup. 

Saya mengesyorkan supaya buku ini dibaca oleh setiap orang. Bagi yang bergelar pelajar dan mahasiswa, dapatkan buku ini segera kerana ia membawa kepada matlamat sebenar kenapa kita menuntut ilmu tanpa perlu menoleh kepada perkara-perkara remeh yang lain. Berbaloi membeli buku ini.

Beli dan bacalah walaupun ia sudah diterbitkan tiga tahun lalu. Cetakan pertama, November 2013.