Wednesday, 21 September 2016

Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat

Saya tidak kenal siapa Dr. Azman Ibrahim sehinggalah saya membaca buku hasil tulisan beliau. Buku ini dibeli oleh Cg Lukeman dua tahun lalu (seingat saya) di Masjid Ibrahimi usai solat berjemaah di situ. Ketika itu, Dr. Azman hadir untuk memberi ceramah di masjid tersebut. 

RM 25

Sedar tidak sedar, dua kali saya khatam buku ini. Sebuah buku motivasi yang memberi semangat juang yang tinggi dalam menuntut ilmu di perantauan. Menuntut ilmu di sebuah negara bergolak yang sedang berhadapan dengan sekatan ekonomi PBB ekoran penaklukan Iraq terhadap Kuwait pada 2-4 Ogos 1990. Ia adalah catatan pengalaman nyata seorang penuntut ilmu di bumi Iraq pada awal tahun 90-an. 

Gaya penulisan yang santai dan mudah difahami membuatkan saya seolah-olah berada di negara yang pernah dipimpin Saddam Hussein sebelum kejatuhannya.

       "Lantaran itu, saya tidak pernah mengimpikan suasana kehidupan di sana sebagaimana yang saya nikmati di negara sendiri apatah lagi untuk merasai iklim pembelajaran yang penuh kemewahan dan kemodenan tetapi impian saya adalah untuk mengaut dan membawa pulang semaksima mungkin ilmu dari bumi yang pernah menjadi pusat penyebaran ilmu di zaman keagungan Khilafah Abbasiyah. Bukankah ilmu itu adalah khazanah yang hilang dari kita ummat Islam dan ianya perlu dikutip kembali walaupun dengan segala susah payah".

Wujud lagikah lembah itu? Ya...wujud lagikah lembah di antara Sungai Dajlah dan Furat (lebih dikenali dengan Tigris dan Euphrates dalam buku sejarah) atau sudah dibom oleh tentera AS yang mendakwa Iraq menyembunyikan senjata nuklear.

Melalui buku ini, saya kenal negara Iraq, sejarah jatuh bangun negara Iraq dan siapa itu Saddam Hussein walaupun dengan tidak mendalam. Cerita Syiah di Iraq, muslim Sunni di Fallujah ada diketengahkan oleh Dr. Azman.


Saddam Hussein

Jarang rakyat Malaysia yang menuntut di sana, tidak seperti di Mesir atau Jordan lebih-lebih lagi dalam bidang perubatan pergigian. Tetapi, itulah kelebihannya. Menjadikan Dr. Azman lebih mudah untuk menguasai bahasa orang tempatan dan menyesuaikan diri bagi meneruskan kelangsungan hidup. 

Saya mengesyorkan supaya buku ini dibaca oleh setiap orang. Bagi yang bergelar pelajar dan mahasiswa, dapatkan buku ini segera kerana ia membawa kepada matlamat sebenar kenapa kita menuntut ilmu tanpa perlu menoleh kepada perkara-perkara remeh yang lain. Berbaloi membeli buku ini.

Beli dan bacalah walaupun ia sudah diterbitkan tiga tahun lalu. Cetakan pertama, November 2013.

Wednesday, 31 August 2016

Kelapa Mataq

     Empat tahun berlalu, tidak semua pokok kelapa mataq ini berbuah. Sepatutnya cukup 3 tahun ia akan berbuah jika mendapat baja dan nutrien yang cukup. Tapi, kerana kesibukan...kadang-kadang pembajaan tidak dilakukan dengan sempurna menyebabkan pokok-pokok lambat membesar.

Kelapa mataq di belakang rumah
Benih mataq ini kami beli daripada Cg Azmi di Machang. Kiranya bukan benih ori tapi 2nd generation sebab yang ori hanya boleh didapati di Perak melalui Jabatan Pertanian. Cg Azmi terlibat dengan projek tanah terbiar di Kampung Bandar, Machang 6-8 tahun lalu. Sekarang projeknya telah membuahkan hasil. Benih mataq ini dijual dengan harga RM8 sebiji bagi yang baru bercambah. Kalau pucuknya sudah bercambah panjang, harga RM12-RM15.
Pokok pertama yang keluar buah

Pokok mataq ini kami mula tanam sekitar Jun 2012 di tanah sawah belakang rumah kami. Kos menggembur dan piring hampir RM350 untuk tanah seluas hampir 1 ekar dan ditanam dengan 100 anak pokok. Ada juga yang perlu disulat kerana dikerjakan oleh lembu-lembu yang dilepas di sawah setelah habis musim tuaian padi.

Update:
Pokok mataq ini selalu berbuah lebat. Ada sampai 15 biji setandan. Buah kecil tapi isi agak tebal. Banyak dapat santan. Masa mula berbuah dulu, pokoknya masih rendah. Boleh dicapai dengan tangan.

Ini kelapa biasa. Agak lambat berbuah. Mungkin kekurangan nutrien.

Pokok Tin


     Kenal pokok ini? Inilah pokok tin. Pokok tin banyak khasiatnya. Buah tin dikatakan mampu menurunkan kolestrol 20% dan mencegah serangan jantung. Tin juga agak kaya dengan serat, baik untuk pencernaan selain mencegah daripada kanser usus. 


     Pokok tin ada pelbagai jenis. Yang ini jenis mini purple kerana buahnya berwarna purple. Dibeli dengan harga RM40. Sekarang pokoknya sudah agak besar. Hanya ditanam di dalam pasu sebagai pokok hiasan.
     
     Di dalam al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan at-Tin. Ia adalah surah yang ke-95 dan diturunkan di Mekah sesudah surah al-Buruj. Mengandungi 8 ayat dan perkataan at-Tin berada pada ayat pertama. 

Sedikit huraian: Menurut Ibnu Abbas, buah tin dan zaitun yang dimaksudkan pada ayat pertama merujuk kepada buah tin dan zaitun yang kita kenal serta banyak manfaat dari segi kesihatan. Pendapat mufassir yang kedua, ia merujuk kepada tempat buah tersebut tumbuh iaitu negeri Syam, tempat diutusnya Nabi Isa a.s. dan Baitul Maqdis tempat banyaknya tumbuh pohon zaitun. Surah ini membicarakan tentang kemuliaan manusia dan keimanan terhadap hari perhitungan.

Foto Ihsan Google



Bertani Satu Ibadah


     Rumah saya banyak dikelilingi pokok buah-buahan. Nangka madu, durian belanda, kelapa mataq, harum manis dan banyak lagi. Kebanyakan sudah mendatangkan hasil kecuali pokok durian musang king. Baru sahaja ditanam. Lambat membesar kerana rumah kami agak berpasir, bukan tanah berbukit. 

     Cg Man suka bertani. Ditanamnya sedikit demi sedikit. Akhirnya sekitar rumah kami dipenuhi dengan pokok-pokok walaupun baru mendiami lebih kurang 5 tahun. Kadang-kadang tidak habis dimakan. Buah pisang lemak manis kami beri pada jiran. Kadang-kadang tanpa disedari, ia sudah dimakan burung.

     Durian belanda atau durian sayur mahal harganya. Pernah sekali beli di Pasar Siti Khadijah, Kota  Bharu. Beli untuk dapatkan biji, kemudian disemai untuk dijadikan anak benih. Siapa yang datang ke rumah pasti berminat dengan anak pokok durian belanda. Mereka minta untuk membeli tapi Cg Man bagi percuma jer. Sedekah katanya....

Pokok sendiri(1 1/2 kg)