Sunday, 10 November 2019

Trip DIY ke Kundasang @ Sabah

Trip 24 - 27 Oktober 2019 | Khamis - Ahad

Sapa belum tahu lagi apa itu DIY. Do it yourself. Buat sendiri. Tak perlu guna ejen bila kita nak pergi atau melancong ke mana-mana tempat. Kenapa DIY. Mestilah sebab murahkan. Nak jimat. Ikut plan kita. Kurang masa menunggu.


24 Okt 2019 | Khamis
Trip kami ke Sabah baru-baru ini adalah selama 4 hari 3 malam. Kami ambil flight Air Asia dari Kota Bharu jam 1 petang hari Khamis. Cuti kerja hari tu. Flight AA dari Kota Bharu ada 3 kali seminggu. Selasa, Khamis dan Sabtu. Harga biasa untuk hari Selasa dan Khamis ialah RM 184 manakala hari Sabtu RM 330. Kami balik hari Ahad. Transit di KLIA2 dulu sebab flight AA tiada hari Ahad ke Kelantan. Sebenarnya, lebih jimat kalau transit di KL dulu. Kenapa? Tiket dari KK ke KLIA ialah RM 200. Untuk balik ke Kelantan, intai tiket yang harganya RM 50. Kan dah jimat RM 80.



Sebaik sahaja sampai jam 4 petang (delay 30 minit), kereta MyVi yang kami tempah sebulan lebih awal telah siap sedia menunggu. Kereta Sewa Humaira Travel @ Tour. Semuanya RM 350. Bayar deposit RM 100 masa tempah tu. Dapat kereta, kami terus ke Homestay Najwa. Dalam 10 minit je dari airport dan 15 minit dari KK. Kami solat jamak dan terus ke KK. Jalan-jalan cari makan dekat Anjung Senja dan bergambar kat Dataran Todak. Beli-belah di Pasar Philipines dan Pasar Sinsuran. Murah-murah.



25 Okt 2019 | Jumaat
Pagi esoknya sebelum ke UMS, kami singgah makan di Anjung Senja. Hanya satu kedai je buka iaitu kedai nombor 18. Kedai lain hanya buka waktu malam. Lepas sarapan, kami ke UMS. Tengok tempat belajar dulu. Kemudian, terus ke Kundasang. Singgah japdi Rumah Terbalik Tamparuli dan Pekan Nabalu. Di Kundasang, kami tinggal di Ayana Resort Hotel selama 2 malam. Saya booking ikut Agoda.com. Lebih murah berbanding Trivago dan Booking.com. Lepas je check in dan solat, kami terus ke Kinabalu National Park(KNP). Kat sinilah para pendaki gunung mendaftar. Masa ni tak nampak Gunung Kinabalu sebab dah petang. Diseliputi awan.



Kami terus ke Pekan Kundasang. Bergambar di Bulatan Kobis. Makan sayap ayam madu Wak Ali. Kat pekan ni, ada satu ATM cucuk duit. Tak ingat dah bank apa. Makan malam di Restoran Hidayah sebelah kanan Bulatan Kobis. Makan nasi dan sup panas-panas bersama ayam bakar madu.  Ada satu lagi restoran muslim di situ. Restoran Intan. Kemudian, balik tidur.









26 Okt 2019 | Sabtu
Pagi-pagi lagi kami ke Desa Cattle Dairy Farm. Pergi awal tau. Baru nampak Gunung Kinabalu. Ramai sangat orang masa tu. Cuaca pun sejuk yang amat. Lebih sejuk dari Cameron Highlands. Makan aiskrim Gelato. Sedap wehhh! Dah puas pusing-pusing tengok lembu, kami ke Fish Spa Sg Moroli Kg Luanti. Bagi ikan makan. Nanti dia datang kat kita. Gigit-gigit kaki kita. Rasa geli-geli gitewww.






Kemudian, kami ke Kolam Air Panas Hot Spring di Ranau. Teman anak Mandi. Tak sempat nak canopy walk, hujan pulak petang tu. Sebelum balik, singgah di Arnab Village. Main-main dengan arnab. Sebelum pulang ke Ayana, singgah di food court Ranau. Tapau nasi goreng kampung telor mata. Tidur.




27 Okt 2019 | Sabtu
Check out awal pagi dalam kul 7 sebab nak kejar flight kul 1. Makan pagi di KK. Singgah lagi di Pasar Philippines. Beli souvenirs. Terus ke airport. Pulangkan balik Kereta MyVi. Alhamdulillah, selamat sampai di airport Kota Bharu setelah 3 jam transit di KLIA2.




Kereta saya park percuma dekat surau airport. Nasib baik, selamat. Kebetulan ada kosong satu, terus park situ. Kalau tak, RM 80 juga untuk parking berbayar. Setakat ni, selamat lagilah.

Memang suka sangat pergi Sabah. Alhamdulillah berjalan seperti yang dirancang. Sapa nak itinerary, boleh email saya. yatiesafai@gmail.com.

Saturday, 2 November 2019

Ebook 21 Cerita Murah Rezeki


Kita tahu yang sedekah itu perbuatan mulia. Dan kita berbuat perkara itu seperti benda rutin. Itu memang sangat mulia. Dan ada juga aktiviti memberi sedekah ini membawa kepada banyaknya pintu rezeki dibuka.

Kena tanya hati sendiri, semasa memberi apa yang kita nak. Jika kita tetapkan dalam diri yang kita memberi ini untuk bantu masjid, bantu surau, bantu orang dan sebagainya, maka keikhlasan kita itu memang Allah akan balas sebanyak-banyaknya. Kita dan hati kita sahaja yang tahu bagaimana segala tubuh dan jiwa kita berfungsi bagaimana semasa kita memberi.

Kawan-kawan,

Dalam ebook ini diceritakan dengan terperinci bagaimana kekuasaan Allah dalam memberi hadiah kepada kita. Ia datang dari berbagai sumber termasuk kita yang suka bersedekah dan memberi.

Untuk dapatkannya, Klik sini:

https://bykhm.onpay.my/order/form/21cmr/903
https://bykhm.onpay.my/order/form/21cmr/903
https://bykhm.onpay.my/order/form/21cmr/903




Saturday, 16 February 2019

Qiraat Ibnu 'Amir

Riwayat Hisyam dan Ibnu Zakuan

SurahAl-Insyiqaq
Hafs : 25 ayat
Ibnu 'Amir : 23 ayat


 

Ayat 1 : 
  • Mad wajib muttasil - 4 harakat.
  • Bagi kalimah yang ada hamzah di hujungnya,  السماء , semasa waqaf, Imam Hisyam membacanya dengan 5 wajah iaitu
  1. Ibdal huruf hamzah kepada alif dan harus dibaca 2, 4 dan 6 harakat bagi hamzah berbaris atas, bawah atau hadapan. 
     2. Dan ditambah 2 wajah lagi bagi hamzah yang berbaris di bawah atau hadapan:
         Tashil beserta raum dan harus dimadkan sebelumnya dengan 
          a) 4 harakat atau
          b) 2 harakat

Ayat 6 :
  • Mad jaiz munfasil - 4 harakat.
 
Ayat  10 :
  • Waqaf bagi kalimah yang ada hamzah pada hujungnya tetapi tidak berbaris bawah atau hadapan iaitu berbaris atas, maka cara bacaannya adalah 3 wajah
         i)  ibdal huruf hamzah kepada huruf alif dengan kadar harakatnya 2, 4 dan 6.
     
Ayat 12 (10 : Ibnu 'Amir)
  • Farsyi Al-Huruf (khilaf bacaan di antara ahli Qura') - dibaca dengan wayusolla, bukan wayasla.
 
Ayat 21 (19 : Ibnu 'Amir)
  • Kalimah  قرئ  apabila waqaf bagi Imam Hisyam, hanya ibdal hamzah kepada huruf ya' - maka dibaca dengan قري (quriy).
 
* Perkongsian ini bertujuan supaya setiap orang dapat membaca surah ini mengikut Qiraat Ibnu 'Amir  dengan betul. 
 
* Dengan adanya nota ini, saya lebih cepat mengingatinya dan dapat menjadi rujukan
   apabila saya perlukannya.
 
* Sebarang kesilapan atau teguran, amatlah dialu-alukan.

Saturday, 1 July 2017

Air Tuak Kelantan @ Nira Kelapa

Saya ada ceritakan  tentang kelapa mataq pada post sebelumnya. Ramadan tahun ini genaplah 5 tahun umur kelapa itu. Alhamdulillah, kebanyakan daripada pokok kelapa tersebut sudah mengeluarkan mayang.

Bila bulan puasa, orang Kelantan memang suka minum air tuak atau dikenali air nira kelapa di negeri lain. Air tuak Kelantan tidak mabuk. Ia halal dan boleh diminum tanpa was-was. Jadi, kami tidak lepaskan peluang ini.


Kami minta Encik Zulkifli @ Abe Li untuk menyadat tuak. Selain daripada menjadi 'guard', Abe Li juga melakukan banyak kerja kampung untuk menambah pendapatannya.

Tuak diurus 2 kali  sehari iaitu waktu pagi dan petang. Jika dibiarkan, ia akan menjadi masam. Bila masam, ia tidak boleh diminum kerana boleh memabukkan. Haram minum benda yang memabukkan. Tetapi jangan dibuang kerana tuak masam ini bila disimpan lama-lama ia bertukar menjadi cuka. Berlaku proses penapaian.


Pendapatan yang diperoleh hasil jualan tuak sangat lumayan. Hampir mencecah RM 3000 untuk bulan puasa ini. Bila dibahagi 2, dapatlah jugak RM 1000+++ seorang. Walaupun bulan puasa sudah berakhir, urusan tuak masih lagi diteruskan kerana masih ada sambutan.


Jadi, kepada sesiapa yang berminat, bolehlah dapatkan air tuak segar dari ladang kami di Kampung Tebing Tinggi, Pasir Puteh, Kelantan yang letaknya sebelum jambatan Kampung Pulau Lima sebelah kanan menghala ke Semerak. Boleh juga pm kami di 017-9639793 @ 017-9084494. Harganya RM 5 untuk 800 ml atau sebungkus. Harga untuk 1 tong @ 10liter pulak RM50.

Wednesday, 21 September 2016

Travelog di Lembah Sungai Dajlah dan Furat

Saya tidak kenal siapa Dr. Azman Ibrahim sehinggalah saya membaca buku hasil tulisan beliau. Buku ini dibeli oleh Cg Lukeman dua tahun lalu (seingat saya) di Masjid Ibrahimi usai solat berjemaah di situ. Ketika itu, Dr. Azman hadir untuk memberi ceramah di masjid tersebut. 

RM 25

Sedar tidak sedar, dua kali saya khatam buku ini. Sebuah buku motivasi yang memberi semangat juang yang tinggi dalam menuntut ilmu di perantauan. Menuntut ilmu di sebuah negara bergolak yang sedang berhadapan dengan sekatan ekonomi PBB ekoran penaklukan Iraq terhadap Kuwait pada 2-4 Ogos 1990. Ia adalah catatan pengalaman nyata seorang penuntut ilmu di bumi Iraq pada awal tahun 90-an. 

Gaya penulisan yang santai dan mudah difahami membuatkan saya seolah-olah berada di negara yang pernah dipimpin Saddam Hussein sebelum kejatuhannya.

       "Lantaran itu, saya tidak pernah mengimpikan suasana kehidupan di sana sebagaimana yang saya nikmati di negara sendiri apatah lagi untuk merasai iklim pembelajaran yang penuh kemewahan dan kemodenan tetapi impian saya adalah untuk mengaut dan membawa pulang semaksima mungkin ilmu dari bumi yang pernah menjadi pusat penyebaran ilmu di zaman keagungan Khilafah Abbasiyah. Bukankah ilmu itu adalah khazanah yang hilang dari kita ummat Islam dan ianya perlu dikutip kembali walaupun dengan segala susah payah".

Wujud lagikah lembah itu? Ya...wujud lagikah lembah di antara Sungai Dajlah dan Furat (lebih dikenali dengan Tigris dan Euphrates dalam buku sejarah) atau sudah dibom oleh tentera AS yang mendakwa Iraq menyembunyikan senjata nuklear.

Melalui buku ini, saya kenal negara Iraq, sejarah jatuh bangun negara Iraq dan siapa itu Saddam Hussein walaupun dengan tidak mendalam. Cerita Syiah di Iraq, muslim Sunni di Fallujah ada diketengahkan oleh Dr. Azman.


Saddam Hussein

Jarang rakyat Malaysia yang menuntut di sana, tidak seperti di Mesir atau Jordan lebih-lebih lagi dalam bidang perubatan pergigian. Tetapi, itulah kelebihannya. Menjadikan Dr. Azman lebih mudah untuk menguasai bahasa orang tempatan dan menyesuaikan diri bagi meneruskan kelangsungan hidup. 

Saya mengesyorkan supaya buku ini dibaca oleh setiap orang. Bagi yang bergelar pelajar dan mahasiswa, dapatkan buku ini segera kerana ia membawa kepada matlamat sebenar kenapa kita menuntut ilmu tanpa perlu menoleh kepada perkara-perkara remeh yang lain. Berbaloi membeli buku ini.

Beli dan bacalah walaupun ia sudah diterbitkan tiga tahun lalu. Cetakan pertama, November 2013.

Wednesday, 31 August 2016

Kelapa Mataq

     Empat tahun berlalu, tidak semua pokok kelapa mataq ini berbuah. Sepatutnya cukup 3 tahun ia akan berbuah jika mendapat baja dan nutrien yang cukup. Tapi, kerana kesibukan...kadang-kadang pembajaan tidak dilakukan dengan sempurna menyebabkan pokok-pokok lambat membesar.

Kelapa mataq di belakang rumah
Benih mataq ini kami beli daripada Cg Azmi di Machang. Kiranya bukan benih ori tapi 2nd generation sebab yang ori hanya boleh didapati di Perak melalui Jabatan Pertanian. Cg Azmi terlibat dengan projek tanah terbiar di Kampung Bandar, Machang 6-8 tahun lalu. Sekarang projeknya telah membuahkan hasil. Benih mataq ini dijual dengan harga RM8 sebiji bagi yang baru bercambah. Kalau pucuknya sudah bercambah panjang, harga RM12-RM15.
Pokok pertama yang keluar buah

Pokok mataq ini kami mula tanam sekitar Jun 2012 di tanah sawah belakang rumah kami. Kos menggembur dan piring hampir RM350 untuk tanah seluas hampir 1 ekar dan ditanam dengan 100 anak pokok. Ada juga yang perlu disulat kerana dikerjakan oleh lembu-lembu yang dilepas di sawah setelah habis musim tuaian padi.

Update:
Pokok mataq ini selalu berbuah lebat. Ada sampai 15 biji setandan. Buah kecil tapi isi agak tebal. Banyak dapat santan. Masa mula berbuah dulu, pokoknya masih rendah. Boleh dicapai dengan tangan.

Ini kelapa biasa. Agak lambat berbuah. Mungkin kekurangan nutrien.

Pokok Tin


     Kenal pokok ini? Inilah pokok tin. Pokok tin banyak khasiatnya. Buah tin dikatakan mampu menurunkan kolestrol 20% dan mencegah serangan jantung. Tin juga agak kaya dengan serat, baik untuk pencernaan selain mencegah daripada kanser usus. 


     Pokok tin ada pelbagai jenis. Yang ini jenis mini purple kerana buahnya berwarna purple. Dibeli dengan harga RM40. Sekarang pokoknya sudah agak besar. Hanya ditanam di dalam pasu sebagai pokok hiasan.
     
     Di dalam al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan at-Tin. Ia adalah surah yang ke-95 dan diturunkan di Mekah sesudah surah al-Buruj. Mengandungi 8 ayat dan perkataan at-Tin berada pada ayat pertama. 

Sedikit huraian: Menurut Ibnu Abbas, buah tin dan zaitun yang dimaksudkan pada ayat pertama merujuk kepada buah tin dan zaitun yang kita kenal serta banyak manfaat dari segi kesihatan. Pendapat mufassir yang kedua, ia merujuk kepada tempat buah tersebut tumbuh iaitu negeri Syam, tempat diutusnya Nabi Isa a.s. dan Baitul Maqdis tempat banyaknya tumbuh pohon zaitun. Surah ini membicarakan tentang kemuliaan manusia dan keimanan terhadap hari perhitungan.

Foto Ihsan Google